United agak selesa di persada liga, terus berada tiga mata di depan pencabar Man City
MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menyaksikan pasukannya memenuhi sasaran memulakan tahun baru di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Stoke City 2-1, dan kemudian melaungkan amaran kepada pesaing lain.
Gol daripada Javier Hernandez dan Nani, diselangi jaringan penyamaan mengejutkan Dean Whitehead di Old Trafford kelmarin, meletakkan United tiga mata di depan Manchester City, sekurang-kurangnya untuk 24 jam sebelum pesaing itu berentap dengan Arsenal, awal pagi tadi.
Namun kelebihan tetap memihak mereka kerana mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Ferguson yang mencecah 69 tahun minggu lalu berkata, sejarah memberikan petunjuk bahawa pasukan itu layak dianggap sebagai pilihan untuk memenangi rekod gelaran ke-19 dan menuding ke arah bulan-bulan akan datang sebagai tempoh penentu.
“Apabila memasuki tahun baru, ia memberikan petunjuk baik mengenai hala tuju hingga akhir musim dan sejarah menunjukkan kami bermain lebih baik pada babak kedua musim dan perlawanan besar bukan isu bagi kami. Kami tidak sabar menghadapinya.
“Januari adalah bulan penting. Kami perlu berdepan Liverpool dalam Piala FA dan kemudian Tottenham minggu depan.”
Namun ia bukan persembahan meyakinkan United yang turun tanpa Edwin van der Sar, Wayne Rooney dan Rio Ferdinand sungguhpun kemenangan itu bermakna hanya West Bromwich Albion - yang seri Oktober lalu - mencuri mata dari Old Trafford musim ini.
Tetapi United masih kekal pasukan yang belum tewas dan Ferguson mempertahankan beberapa pertukaran yang terpaksa dilakukannya ketika menentang Stoke dengan berkata: “Ini adalah bulan yang sibuk dan penting supaya pemain dapat bermain.
“Anda perlu yakin kepada skuad sendiri dan saya menaruh kepercayaan kepada mereka. Dalam perlawanan, mereka tidak pernah mengecewakan saya.” – AFP
No comments:
Post a Comment