Saturday, January 15, 2011

Arsenal Cari Pertahanan Baru


Wenger mahu cari pengganti Vermaelen yang cedera

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendedahkan dia mahu menandatangani seorang pemain pertahanan tengah bagi menggantikan pertahanan yang cedera, Thomas Vermaelen.
Vermaelen tidak bermain untuk skuad Gunners sejak 28 Ogos lalu selepas bintang Belgium itu mengalami kecederaan Achilles ketika beraksi bersama skuad kebangsaan negaranya.
“Vermaelen mengalami satu lagi kecederaan yang mencetuskan kebimbangan kami Sabtu lalu,” kata Wenger kepada Arsenal TV Online.

“Kami meminta pendapat pakar terbaik dari seluruh dunia. Dia menjalani satu lagi pemeriksaan hari ini dan kami akan tahu lebih lanjut mengenainya Rabu ini.”

Arsenal berharap pemain berusia 25 tahun itu hanya terpaksa diketepikan untuk beberapa minggu, tetapi komplikasi yang dialami Vermaelen kini meletakkan kelab itu tidak berani menetapkan tempoh masa bila dia boleh kembali beraksi.

Dengan pertahanan tengah dari Perancis, Sebastien Squillaci terpaksa diketepikan sebulan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika pasukannya seri 1-1 dalam saingan Piala FA menentang Leeds Sabtu lalu, Wenger mengakui dia hampir pasti terpaksa membeli pemain baru ketika jendela perpindahan pemain bulan ini.
Wenger yang hanya memiliki Laurent Koscielny dan Johan Djourou untuk diturunkan di bahagian pertahanan tengah dikatakan berminat mendapatkan pemain Bolton, Gary Cahill, pemain antarabangsa Bosnia yang mewakili Montpellier, Emir Spahic dan pemain Werder Bremen, Per Mertesacker. - AP

No comments:

Post a Comment